Thursday, January 1, 2009

Teknologi majukan industri cendawan

AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.

Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.

Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.

Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.

Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)

Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.

Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.

"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.

"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.

Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.

Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.

Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.

"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.

Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.

Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.

Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.

"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya

Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.

Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.

Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.

Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.

Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.

Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.

Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sahari.

Skill-Tech ILKS pertama tawar SKM pertanian

Keperluan kepada modal insan yang semakin mendesak dalam sektor pertanian memerlukan sokongan pelbagai pihak khususnya institusi latihan untuk melahirkan lebih ramai graduan terlatih.

Selain institusi pengajian tinggi dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), hampir tidak ada syarikat yang sudi melabur dan menawarkan program latihan kemahiran dalam pertanian secara menyeluruh bagi mencapai matlamat murni ini.

Namun kewujudan Institut Skill-Tech yang terletak di Durian Tunggal, Melaka telah berjaya membuka mata masyarakat untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam bidang pertanian, sekali gus menyahut matlamat kerajaan memperkasa sektor tersebut.

Syarikat bumiputera terbabit berjaya membuktikan bahawa persepsi masyarakat selama ini yang menuduh generasi muda tidak meminati kerjaya berasaskan pertanian adalah tidak tepat.

Ini terbukti apabila ambilan pertama pelatih di bawah Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia untuk Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera berjaya menarik lebih 200 pelajar mengikuti pelbagai bidang pertanian.

Menurut Pengerusi Eksekutif Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut yang menawarkan pembiayaan percuma kepada semua belia bumiputera ternyata mendapat sambutan hebat pelatih dari seluruh negara.

Amat memeranjatkan beliau apabila ramai pelatih dari Sabah dan Sarawak juga sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata ingin mengejar impian menjadi tenaga kerja pertanian terlatih dan usahawan tani.

"Ini membuktikan bahawa belia kita memang berminat dalam bidang pertanian, sekiranya diberi peluang yang sewajarnya.

"Malah mereka juga sudah mula melihat pertanian sebagai satu peluang perniagaan yang lumayan," ujar beliau.

Skim yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, pada 30 Oktober lalu, memilih Institut Skill-Tech sebagai peneraju dalam bidang pertanian.

Skim tersebut dilaksanakan dan dipantau oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkifli A Hassan.

Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, MeCD dan Mara yang bertujuan untuk menjamin kualiti dan pencapaian skim kluster berkenaan.

Difahamkan, Skill-Tech merupakan ILKS pertama yang menjalankan kursus pertanian sepenuhnya menggunakan Standard Latihan Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan NATC.

"Memandangkan kursus menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, pensijilan dan modul pelatih adalah sama dengan kolej latihan pertanian di bawah pusat latihan awam, " tambahnya lagi.

Nordin menambah, Skill-Tech menyasarkan pelatih seramai 2,000 orang, bermula tahun ini hingga tahun hadapan.

Mereka menawarkan pelbagai bidang iaitu tanaman makanan (sayuran/buah-buahan), akuakultur (ikan air tawar), seni bina landskap, penyeliaan ladang, pemasaran pertanian, pemprosesan makanan, herba, bio-teknologi, pelancongan tani (agro-tourism), ternakan ayam (poltri) serta ternakan ruminan.

"Kepelbagaian bidang kursus membolehkan lebih ramai penyertaan belia kerana mereka boleh memilih kursus pertanian mengikut minat dan cita rasa masing-masing," katanya lagi.

Pusat latihan ini berkonsepkan ladang integrasi (integrated-farm) yang menggabungkan tanaman makanan, akuakultur dan pelancongan pertanian. Malah mulai tahun hadapan, ladang poltri dan ruminan akan diwujudkan untuk melengkapkan konsep integrasi tersebut.

Sebaik sahaja tamat latihan selama setahun, mereka akan dianugerahkan SKM Tahap 1 dan Tahap 2.

Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima Sijil Keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MeCD.

Selepas tamat latihan, graduan digalakkan untuk mengusahakan pertanian sendiri sebagai usahawan yang akan dibantu oleh MeCD dengan pelbagai kemudahan perniagaan.

Malah dalam tempoh latihan setahun, mereka juga diajar asas keusahawanan dengan menggunakan modul yang disediakan bersama Skill-Tech dan INSKEN.

Selain internship, pendedahan perniagaan hasil pertanian juga turut diberikan oleh pengusaha dan usahawan dalam bidang berkaitan melalui ceramah tetap bulanan.

Pengalaman usahawan tersebut membolehkan mereka mengetahui strategi perniagaan berasaskan pertanian, disiplin serta tip-tip yang menjadi kunci kejayaan usahawan pertanian.

Bagi mencapai Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan, Skill-Tech turut merancang mewujudkan skim inkubator usahawan tani bagi membolehkan graduan mereka terus dibimbing hingga mampu menjadi usahawan berdikari yang berjaya.

"Kami telah berunding dengan beberapa kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah yang sesuai diusahakan sebagai ladang tanaman makanan komersial, " katanya.

Kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang pertanian, memberi keazaman kepada Skill-Tech untuk menggalakkan graduannya menyambung latihan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini bertujuan untuk menyahut cabaran masa depan bidang pertanian yang berteraskan kecekapan bekerja, kemahiran berteknologi serta berpengetahuan tinggi agar pengeluaran pertanian dapat dioptimumkan.

"Kita tetap menggalakkan sebahagian daripada mereka supaya menyambung kursus ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia pada masa depan," tambahnya.

Selain latihan di dalam kampus, pelatih diwajibkan menjalani latihan industri di syarikat-syarikat berasaskan pertanian untuk memantapkan pengetahuan serta memberikan pengalaman sebenar alam pekerjaan pertanian. Justeru itu, Skill-Tech turut menjalinkan kerjasama industri dengan syarikat perladangan serta anak-anak syarikat milik kerajaan.

Graduan ini diyakini akan mudah mendapat pekerjaan, memandangkan kini sudah ada permintaan industri pertanian yang menempah mereka untuk bekerja apabila tamat latihan nanti.

Selain kemudahan latihan mengikut standard NOSS, Skill-Tech turut menyediakan pelbagai kemudahan lain di kampus seperti kolam renang, pusat rekreasi pertanian, surau terapung, dan pelbagai kemudahan berasaskan pertanian untuk keselesaan pelatih.

Memandangkan kerajaan telah menyediakan peluang keemasan ini, Nordin menasihati para belia Bumiputera supaya merebut peluang mengikuti kursus pertanian di institut berkenaan.

Lebih-lebih lagi, skim yang dibiayai menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini tidak memerlukan pelatih membayar balik pembiayaan selepas tamat latihan.

Malah, bagi memberi peluang yang lebih ramai, kerajaan hanya mengenakan syarat minimum boleh menulis, membaca dan mengira (3M) dengan baik bagi kebanyakan kursus (kecuali kursus bioteknologi, herba, pemasaran, pemprosesan makanan dan pelancongan pertanian) sebagai syarat minima kelayakan akademik.

"Syarat minima tersebut tidak bermakna kursus ini adalah untuk mereka yang tercicir atau lemah akademik kerana ada sebahagian pelatih kami adalah lulusan ijazah dari IPTA dalam dan luar negara," jelas Nordin lagi.

Ternyata skim ini juga bertujuan untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan utama generasi muda kerana syarat umur peserta kursus yang ditetapkan oleh kerajaan adalah antara 16 hingga 35 tahun.

Bagi mencapai sasaran yang ditetap- kan kerajaan, Skill-Tech mempelawa belia Bumiputera menyertai kursus percuma ini bagi pengambilan Disember tahun ini yang masih dibuka untuk pendaftaran serta-merta.

Kontraktor ICT hasilkan nanas klon baru tiga kilogram sebiji

SUNGAI PETANI 24 Dis. _ Seorang kontraktor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Abu Hassan Man, 49, yang mengusahakan ladang nanas di Kampung Bendang Dalam, Merbok dekat sini sejak setahun lalu berjaya mengeluarkan nanas bermutu tinggi sehingga mampu mencecah berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji.

Lebih membanggakan, buah nanas yang diusahakannya di tanah seluas 14 hektar di kawasan berkenaan bukan sahaja bersaiz lebih besar, tetapi lebih manis, beraroma dan rangup.

Abu Hassan ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pada mulanya dia memulakan langkah mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman berkenaan sekadar suka-suka, tetapi kini melibatkan diri sepenuhnya selepas mendapati ia sebagai perniagaan yang menguntungkan.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia itu memberitahu, kini sebanyak 300,000 pokok nanas telah mengeluarkan hasil dan bersedia memasuki pasaran.

‘‘Setakat ini nanas klon terbaru ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pemborong dari seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abu Hassan, daripada jumlah keseluruhan 500,000 pokok yang ditanam, pihaknya menjangka dapat menjana pendapatan sehingga RM300,000 semusim.

Katanya lagi, selain ladang tersebut, dia juga sedang membangunkan tanah seluas 28 hektar lagi untuk ditanam dengan nanas klon terbaru itu.

Tambahnya, nanas klon terbaru berkenaan dijual pada harga ladang sebanyak RM1.30 sen sebiji untuk gred A manakala gred AA pula pada harga RM1.50 sebiji.

Dia juga menjangkakan pihaknya akan dapat mempromosikan klon buah nanas terbaru berkenaan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Rosli Khalid mengakui mutu buah nanas yang diusahakan Abu Hassan berpotensi luas memasuki pasaran tempatan dan luar negara.

‘‘Kita terpegun apabila melihat buah nanas jenis ini mampu mengeluarkan hasil yang agak besar dengan berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji berbanding jenis biasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang berkenaan hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Kedah, Ismail Salleh dan Pegawai Pertanian Kuala Muda, Mohamed Bukhari Abdul Rahman.

Rosli berkata, Jabatan Pertanian yakin potensi besar buah nanas jenis itu di pasaran tempatan apabila ladang berkenaan mengeluarkan hasil sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan kesungguhan pengusaha tersebut menghasilkan klon nanas bermutu tinggi bagi menyaingi nanas biasa yang lain di pasaran.

Usahawan baja cacing kompos

Senario ekonomi dunia yang tidak menentu sedikit sebanyak tentu saja memberikan kesan kepada ekonomi negara dan seterusnya kepada rakyat.

Ia menimbulkan keresahan kerana peningkatan harga barang yang tidak seiring dengan pendapatan akan mengurangkan kuasa beli pengguna.

Justeru, sebagai jalan keluar ramai telah memikirkan langkah penyelesaian mengurangkan beban tersebut termasuk mencari pendapatan sampingan.

Usaha tersebut bagaimanapun sedikit terencat kerana kekangan masa menyebabkan mereka yang bekerja terutama kakitangan awam tidak dapat menjana pendapatan sampingan.

Justeru sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, Perintis Agrotech Centre (PAC) telah memperkenalkan Program Rakan Niaga Vermi (cacing) bagi membantu koperasi yang berminat menjana pendapatan sampingan dengan produk berasaskan pertanian.

Program yang dijalankan oleh PAC banyak dibantu dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pengurus Program Rakan Korporat Vermi, Norzana Rafie berkata, program berkenaan dilancarkan oleh PAC berdasarkan potensi pasaran vermi-kultur (ternakan cacing) dan vermi-kompos (baja cacing) yang sangat tinggi.

Projek mega

"Bagi projek jangka masa panjang, Perintis telah melancarkan Projek AgroHUB 2008 - 2011 yang terdiri daripada beberapa projek mega pertanian termasuklah Rakan Niaga Benih, Rakan Niaga Vermi, Rakan Niaga Serai dan Rakan Niaga Biotech.

"Projek AgroHUB meletakkan sasaran penjanaan pendapatan melalui pertanian sebagai agenda pembangunan ekonomi masyarakat," katanya semasa ditemui di kilang baja dan pusat ternakan di Kampung Nakhoda Kiri, Selayang, Selangor.

Sebagai syarikat yang telah lama berkecimpung dalam industri bioteknologi dan produk pertanian, Perintis telah mengembangkan sayap perniagaan dalam industri baja vermikompos melalui ternakan cacing - Rakan Korporat Vermi (RKV).

Projek RKV dilancarkan baru-baru ini bertujuan membuka peluang kepada koperasi, badan atau syarikat untuk membuat projek ternakan cacing secara usahasama dengan Perintis.

Projek vermi-kultur dan vermi-kompos dipilih berdasarkan permintaan baja kompos yang tinggi, cacing untuk makanan ternakan kerana penyumbang kepada protein paling tinggi dan untuk produk kesihatan dan kosmetik.

Pasaran baja kompos atau organik semakin berkembang ekoran peningkatan mendadak harga baja berasaskan kimia.

Di bawah projek RKV, Perintis anak syarikat Perintis Dagangan Sdn. Bhd. menyediakan prasarana, infrastruktur, peralatan, teknologi, khidmat penjagaan dan pemantauan pakar kepada rakan korporat yang menyertainya.

Kesemua projek akan dikumpulkan di satu pusat ternakan bagi tujuan ternakan, penghasilan baja dan penjualan cacing bagi makanan ikan.

Hak penjagaan

Melalui pendekatan ini, pihak koperasi yang mempunyai dana berpeluang menceburi ternakan cacing tanpa komitmen tinggi di mana Rakan Korporat menyerahkan hak penjagaan cacing kepada Perintis yang mempunyai tenaga kerja mahir bagi menguruskan dan menjaga.

Bagi menampung permintaan baja kompos yang tinggi, Perintis membuka 300 plot ternakan koperasi, badan atau syarikat.

Aktiviti Perniagaan Perintis adalah makanan cacing berkualiti, vermi-kompos, induk cacing, latihan dan konsultan, booster untuk lintah dan produk Bio-Ternak untuk cacing.

Program ini bukan satu skim atau pelaburan tetapi satu projek pertanian biasa menggunakan pendekatan yang lebih sistematik dan tidak membebankan rakan korporat.

Ia sangat sesuai untuk sesebuah koperasi atau syarikat untuk menyertai sektor pertanian dan menjana pendapatan ahli atau syarikat.

Dengan penyerahan hak penjagaan dan pemantauan kepada pekerja mahir, risiko dapat dikurangkan dan diuruskan sebaik mungkin.

Tambahnya lagi, ramai yang menyertai program ini berpuas hati dengan penawaran tiga kelebihan sebagai Rakan Korporat iaitu berpeluang berkongsi pasaran dan keuntungan dengan syarikat induk, dapat menjalankan perniagaan terhadap produk berasaskan cacing keluaran Syarikat Induk dan dapat menjalani latihan praktikal selama tempoh kontrak dua tahun.

Permintaan tinggi

PAC yang mempunyai kilang baja dan pusat ternakan di Kampung Nakhoda Kiri, Selayang akan membuka sebuah lagi kilang di sekitar Lembah Klang dalam masa terdekat bagi meningkat pengeluaran baja dan menampung permintaan yang tinggi.

Rakan Korporat yang membuat usahasama dengan Perintis akan ditempatkan di plot ternakan dan penghasilan baja yang ditetapkan.

Perintis akan menerima mana-mana pihak yang ingin membuat usahasama terutamanya koperasi meletakkan had maksimum bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak untuk terlibat.

Berdasarkan perjanjian usahasama, agihan keuntungan dibuat selepas tamat satu tempoh tuaian iaitu setiap tiga bulan setelah Perintis menjual baja dan cacing yang telah terhasil.

Baja yang berkualiti tinggi hanya akan terhasil selepas dua bulan diberikan kepada cacing ternakan.

Usahasama di antara Rakan Korporat dan Perintis akan berterusan selama tempoh dua tahun dan selepas tamat kontrak, modal belian cacing akan dikembalikan.

Perintis berharap agar Rakan Korporat dapat menjalankan ternakan sendiri selepas tamat tempoh tersebut dan telah mahir tentang teknik penjagaan dan penghasilan baja.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Business Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Latihan jangka pendek lahirkan usahawan tani

KERAJAAN telah melancarkan Kempen Bumi Hijau bagi menggalakkan rakyat menceburi sektor pertanian dan industri asas tani serta menggerakkan pelbagai aktiviti serta program lain.

Biarpun matlamat kempen bertujuan menggalakkan usaha bercucuk tanam atau menternak secara kecil-kecilan, mereka perlu mempunyai pengetahuan supaya tanaman atau ternakan mereka mendatangkan hasil.

Bermula dengan minat secara kecil-kecilan, ramai yang merancang untuk menjalankan operasi secara komersial apabila menyedari potensinya.

Justeru sebuah syarikat penggerak industri pertanian, Prestasi Agro Farm yang diterajui tiga usahawan muda menawarkan pelbagai latihan jangka pendek bagi bakal usahawan mempelajari teori dan praktikal bidang pertanian yang ingin diceburi.

Beroperasi di tanah dusun seluas dua hektar berhampiran kawasan hutan Lipur Bukit Lagong, Selayang, Selangor memberi peluang kepada peserta mendapat ilmu secara santai.

Pengarah Projek Perintis Agro Farm, Nur Azizi Rapie menjelaskan pada peringkat awal syarikat mengenalpasti beberapa projek pertanian dan ternakan berjaya sebagai model.

''Usahawan terpilih akan dipelawa untuk menurunkan ilmu mereka kepada peserta semasa bengkel dan ketika lawatan ke tapak projek.

"Dengan cara ini peserta bakal mendapat pengalaman sebenar bagi memudahkan mereka memulakan operasi pertanian dan akuakultur," katanya.

Antara latihan asas dan praktikal yang mendapat permintaan menggalakkan adalah asas penanaman cendawan, teknik pembenihan ikan keli, ternakan lintah, ternakan cacing, ternakan ayam serama dan ketam nipah.

Semua sesi latihan dikendalikan sendiri oleh pengusaha yang telah berjaya dan berpengalaman dengan bantuan kakitangan syarikat.

Selain latihan Perintis Agro Farm juga menjalankan sendiri projek skala kecil bagi ternakan lintah dalam politank, ternakan keli dalam kanvas, ternakan cacing dan tanaman cendawan kelabu.

''Projek berkenaan sebagai model bagi menunjukkan projek pertanian masih boleh dijalankan dengan mudah di kawasan yang terhad.

''Ikan keli dan baja kompos cacing pula boleh dijadikan makanan lintah manakala habuk kayu dari media cendawan yang telah lupus bagi makanan cacing," katanya.

Kajian mendekati habitat lintah, Prestasi Agro Farm telah menghasilkan protein makanan lintah yang mampu meningkatkan produktiviti dan cecair anti rayapan bagi mengatasi masalah lintah yang keluar dari politank.

Perintis Agro Farm juga, kata Azizi, sedang merancang menjalankan projek contoh bagi ternakan ketam nipah, tanaman serai, cili dan sayuran terpilih menggunakan kaedah hidroponik.

"Tahun depan, kami akan beroperasi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian dan ternakan yang dijalankan secara kecil-kecilan memandangkan lokasi kami berdekatan dengan Pasar Borong Selayang," katanya.

Bagi mereka yang ingin berkongsi pengalaman dan latihan boleh menghubungi Prestasi Agro Farm di 012-6138059 atau 012-6157937.

Jambu manis dari Muar

MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.

Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.

Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.

Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.

Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.

Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.

Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.

Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.

''Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,'' katanya.

Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.

Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.

Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,

Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.

Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.

Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.

Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,

Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.

Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.

Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.

Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.

Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.

Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.

Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.

Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.

Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.

Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.

Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.

Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.

Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu 'turun padang' memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.

Belimbing berkalsium tinggi

BELIMBING atau Averrhoa carambola adalah buah yang kaya dengan Vitamin C dan dipercayai jika dimakan berterusan boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Manakala kaum Cina pula percaya belimbing boleh merendahkan paras gula dalam darah.

Di negara ini belimbing ditanam secara komersial bagi pasaran tempatan dan eksport kerana kualitinya yang tinggi.

Nilai eksport belimbing segar adalah kira-kira RM32 juta setahun di kawasan kurang 900 hektar di mana 60 peratus adalah untuk pasaran luar negara.

Bagaimanapun buah belimbing yang dieksport ke negara-negara seperti Eropah, Hong Kong dan Singapura biasanya masih hijau atau belum matang kerana buah ini mudah rosak semasa proses pengendalian lepas tuai.

Kebanyakan buah belimbing yang dieksport ke Eropah dimakan sebagai salad dan jarang dimakan secara segar.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr. Zabedah Mahmod berkata, pihaknya telah menjalankan kajian merawat buah belimbing dengan kalsium bagi mengurangkan kerosakan buah.

"Rawatan semburan kalsium didapati menghasilkan sel yang lebih kuat dan pejal memandangkan kalsium penting bagi mengekalkan kesegaran dan ketahanan buah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan kajian pengurusan lepas tuai pada buah belimbing yang diaplikasi dengan semburan kalsium mendapati kerosakan pada segi buah belimbing dapat dikurangkan.

Dr. Zabedah berkata, semburan kalsium yang menggunakan formulasi yang dihasilkan oleh MARDI diaplikasi pada kadar yang amat rendah.

"Buah belimbing akan disembur sebanyak tiga kali iaitu sekali semasa berbunga dan dua kali selepas berputik dan sebelum dituai," katanya.

Menyentuh mengenai semburan, Dr. Zabedah berkata, petani hanya perlu menyembur terus ke arah bunga dan buah.

Kaedah berkenaan, menurut beliau, dicadangkan kepada petani yang menanam belimbing untuk tujuan eksport bagi mengurangkan kerosakan pengendalian lepas tuai.

Beliau menambah, kajian yang dijalankan mendapati buah belimbing mudah menyerap kalsium berbanding buah-buahan lain

Selain itu pengurusan tanaman buah belimbing lebih mudah kerana buahan ini tahan lasak terhadap penyakit bakteria dan virus kecuali serangan lalat buah.

"Buah belimbing adalah buah tanpa musim dan boleh diaturkan dengan teknik cantasan bagi menyeragamkan pembungaan dan pembuahan.

"Ini biasa dilakukan dengan memotong dahan yang mati dan bersilang serta selepas dicantas tanaman akan dibaja dengan formulasi yang mengandungi potasium tinggi," katanya.

Dua minggu selepas dahan dicantas, bunga akan muncul dan pada masa bunga berkembang, lebah akan melakukan proses.

Belimbing yang dirawat dengan kalsium mempunyai sel yang lebih kecil dengan dinding sel lebih tebal dan padat, menunjukkan kalsium memainkan peranan penting dalam pembentukan sel yang teguh bagi buah dan lebih rangup.

Dr. Zabedah berkata, kepekatan kalsium di dalam buah meningkat sehingga 25 peratus manakala buah segar lebih rangup dengan 0.44 Newton (N) dibandingkan dengan 0.35 N bagi yang tidak dirawat.

Buah belimbing kalsium tinggi yang telah disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.

Selain itu, belimbing juga kurang mengalami kerosakan seperti berwarna keperangan semasa pengendalian lepas tuai.

Kos tambahan yang diperlukan adalah RM190 atau dua peratus bagi setiap hektar ladang belimbing dan kos ini adalah menjimatkan kerana boleh mengurangkan kerosakan dan meningkatkan pasaran.

"Buah belimbing yang dirawat dengan kalsium juga tahan lebih lama dan jika kajian mendalam dilakukan, belimbing boleh dieksport dalam keadaan ranum untuk dimakan segar.

"Ini akan dapat meningkatkan lagi pasaran belimbing di negara pengeksport kerana setakat ini pasaran belimbing adalah statik dan sukar berkembang," katanya.

Fauzi gemukkan kambing guna Magic Box

SETELAH 11 tahun berkecimpung dalam dunia perusahaan penternakan kambing, Muhammad Fauzi Daud, 44, membuktikan usaha gigih, pergorbanan serta pengalaman yang sentiasa mendewasakan beliau dalam industri berkenaan pasti membuahkan hasil.

Bermula hanya dengan 20 ekor kambing serta bermodalkan wang sebanyak RM30,000, beliau memulakan perusahaannya di sebuah ladang ternakan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Lebih menarik, beliau yang tidak tergopoh gapah untuk mencari keuntungan ataupun pulangan dalam masa yang singkat, sebaliknya menghabiskan masa selama lima tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri berhubung segala faktor yang berkaitan perusahaannya.

Ini termasuk mengkaji sistem ternakan terbaik, faktor pemakanan dan juga aspek penjagaan yang dapat diaplikasikan kepada kambing-kambing ternakannya.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan penceburan beliau dalam bidang tersebut bukan sekadar untuk menjual serta membekalkan kambing, malah mewujudkan sebuah sistem yang benar-benar efektif dalam menghasilkan ternakan yang benar-benar berkualiti.

Pada masa sama beliau juga berharap dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Dalam jangka masa lima tahun menjalankan R&D, beliau tidak menjual walau seekor mahupun membekalkan kambing kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau memfokus terhadap mengkaji cara untuk membina sistem kandang, teknik pembiakan, penjagaan dan faktor pemakanan yang mampu mempengaruhi tumbesaran kambing.

Muhammad Fauzi mengakui, jangka masa lima tahun itu dirasakan agak panjang dan mungkin menjejaskan perusahaan kerana tiada janaan pulangan modal dalam lingkungan masa terdekat.

Namun, berteraskan minat serta pengalaman perniagaan yang mantap sebelum ini, Fauzi yang merupakan seorang pengusaha perabot, hanya mula membekalkan kambing kepada umum pada tahun ke enam selepas beliau benar-benar berpuas hati dengan ternakannya.

Menurutnya, selepas menjalankan sendiri R&D yang komprehensif, kambing yang diternak mampu membesar dengan lebih besar daripada saiz biasa.

“Pembinaan kandang yang bersesuaian serta pemakanan yang baik mampu mempengaruhi faktor pembesaran seekor kambing itu,’’ katanya.

Bekat kesabaran beliau itu, Fauzi kini memiliki dua ladang ternakan iaitu di Lenggeng dan Batang Berjuntai, Selangor.

Ladang ternakan di Lenggeng itu mempunyai keluasan 20 ekar dengan 10 ekar daripadanya menempatkan tiga tapak kandang kambing dan selebihnya adalah kawasan rumput untuk dijadikan makanan kambing.

Sehingga kini, beliau memiliki 1,050 ekor kambing daripada jenis Jamnapari yang bakanya diimport dari Indonesia, manakala 1,300 ekor kambing lagi ditempatkan di Batang Berjuntai meliputi jenis Jamnapari dan Bebiri.

Antara yang menarik, Fauzi mengaplikasikan teknik pembinaan kandangan kambing yang dipanggil Magic Box dan menyelaraskan teknik pemakanan Feed lot bagi menggalakkan pembesaran kambing-kambing ternakannya.

Kandang tersebut merupakan tempat Fauzi menempatkan kambing yang berusia lebih dari tiga bulan untuk ‘digemukkan’.

Melalui teknik Magic Box ini, kambing-kambing akan ditempatkan pada petak-petak yang hanya mampu menempatkan seekor kambing dan akan dibiarkan di dalam petak tersebut untuk suatu jangka masa sehingga berbulan-bulan.

Setiap petak dilengkapi dengan tempat pemakanan yang khas di mana kambing-kambing tersebut akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Selain itu, ruang yang kecil turut membataskan pergerakan kambing di dalam kotak tersebut sekali gus menjadikan ia lebih gemuk.

Sistem tersebut ternyata berkesan kerana kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box itu mempunyai peningkatan dari segi berat dan saiz berbanding kambing yang diternak di dalam kandang biasa.

Pada kebiasaannya, seekor kambing Jamnapari yang matang memiliki berat antara 60 hingga 70 kilogram (kg), manakala menerusi Magic Box berat kambing mampu mencecah sehingga 100-120 kg.

Jelas Fauzi lagi, kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box nyata sihat-sihat belaka dan bebas daripada penyakit kerana petak khas itu telah dicipta dengan tempat pembuangan sisa yang begitu efektif sekali gus menjamin kebersihan kandang.

“Paling penting, penjagaan yang teliti perlu dilakukan bagi menjamin kualiti ternakan,’’ ujarnya.

Dari segi pemakanan pula, Fauzi menggunakan dedaun hijau daripada pelbagai jenis tumbuhan yang dicampur dengan hampas soya, barli dan juga kandungan mineral DG Premix.

Tambah beliau lagi, memproses makanan ternakan sendiri menjadikan kos pemakanan dapat dikurangkan dan lebih menjimatkan.

“Sekiranya, pengusaha menggunakan pellet sebagai bahan makanan, purata kos bagi seekor kambing adalah pada RM1 untuk sehari, padahal jika makanan diproses sendiri, kos tersebut mampu dijimatkan sehingga 30 sen bagi setiap ekor untuk sehari,’’ jelasnya.

Kini, selain membekalkan daging dan baka kambing, beliau turut menawarkan projek mini perladangan kontrak ternak kambing dan bebiri.

Pakej tersebut didatangkan dengan kandang, khidmat nasihat serta bantuan selepas jualan, kursus, kontrak pembelian balik hasil.

Hanya bermodalkan RM10,000, pihak yang berminat untuk menceburi dunia penternakan kambing boleh menghubungi beliau di talian 019-6509690.

Kambing Jamnapari sesuai diternak

JAMNAPARI yang dinamakan sempena sebatang sungai yang terletak di Uttar Pradesh, India merupakan kambing berbaka kacukan yang berasal dari negara berkenaan dan juga Pakistan pada awalnya.

Sejak 1953, kambing Jamnapari yang diternak untuk tujuan daging dan tenusu itu telah dieksport ke Indonesia dan baka tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan di sana.

Sehubungan itu, India meningkatkan lagi perusahaan ternakan tersebut bagi tujuan dieksport.

Bancian pada tahun 1972 di India, menganggarkan sebanyak 580,000 ekor Jamnapari diternak, walaupun hanya 5,000 daripada bilangan tersebut merupakan baka asli.

Di negara asalnya, sepanjang musim sejuk 90 peratus kambing Jamnapari menghabiskan masa untuk meragut rumput atau daun.

Namun, pada musim yang lain, kambing tersebut hanya mengambil 55 peratus masa untuk mencari makanan seperti dedaun, rumput dan pelbagai tumbuhan hijau.

Dari segi fizikal, Jamnapari mempunyai bilangan variasi besar dalam faktor warna, tetapi pada kebiasaannya, ia berwarna putih dan mempunyai tompok pada leher dan kepala.

Di samping itu, Jamnapari mempunyai sepasang cuping telinga yang jatuh dan memanjang sehingga mencapai 25 sentimeter (sm).

Dalam pada itu, kedua-dua jantina kambing tersebut memiliki tanduk dan kaki yang panjang.

Bagi kambing jantan, Jamnapari mampu mencapai sehingga 120 kilogram (kg), manakala bagi betina, beratnya mampu mencecah sehingga 90kg.

Secara purata, seekor kambing betina Jamnapari mampu mengeluar- kan susu sehingga dua kg sehari.

Sementara bagi dagingnya, Jamnapari boleh dikatakan tidak merbahayakan kesihatan kerana kadar kolesterol dagingnya adalah pada tahap yang rendah.

Kini, kambing jenis Jamnapari turut mendapat tempat dan permintaan yang memberangsangkan di kalangan masyarakat tempatan.

Tiga sahabat bangunkan e-arowana

Menyedari potensi industri penternakan ikan hiasan khususnya arowana, tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan dengan pendapatan lumayan. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan 95 peratus ikan hiasan yang diternak adalah untuk pasaran eksport kerana mutunya yang tinggi.

"Tetapi bukan mudah untuk kami mengambil langkah menceburkan diri dalam perniagaan ini secara sepenuh masa.

"Banyak yang perlu difikirkan terutama komitmen terhadap keluarga masing-masing," kata salah seorang pemilik e-arowana Trading, Suhar Shariff semasa ditemui semasa Pameran Aquafair Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyingkap sejarah permulaannya, beliau bercerita, mempunyai hobi yang sama menemukan mereka walaupun bekerja di tempat yang sama.

Suhar berkata, tiga faktor yang menyebabkan mereka bergiat dalam industri ikan hiasan iaitu minat, mempunyai nilai komersial dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki dalam Islam.

Bersama dua rakan lain, Zohri Mohd Taib dan Zulkifli Zarkasi, Suhar mula dengan aktiviti jual beli ikan hiasan pada tahun 2000 dan selepas lima tahun mereka bertiga mula membeli dan memelihara 40 arowana green dan red tail golden.

"Sebelum itu kami telah menyediakan enam buah kolam di kawasan Pendang, Kedah," kata graduan lulusan luar negara ini yang meletak jawatan pada tahun 2005 secara bergilir dengan rakan lain.

Kini tiga sahabat ini mempunyai lebih 200 ekor ikan arowana seperti red tail golden, Malaysia golden, chili red, blood red dan silver.

Suhar berkata, negara mempunyai kelebihan dari segi geografi dan politik sebagai kawasan ternakan arowana selain menjadi habitat asal ikan berkenaan.

"Permintaan ikan arowana yang tinggi masih tidak dapat memenuhi pasaran bagi pelanggan tempatan selain pasaran Asia terutama di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun serta Eropah," katanya yang merancang menambah bilangan kolam pada tahun depan.

Ikan arowana menjadi mahal kerana ikan purba Zaman Jurassic hanya membiak setahun sekali. Pembiakan ikan arowana secara semula jadi memberi ruang bagi penternak mengawal harganya.

"Tidak pernah berlaku lambakan dan kejatuhan harga ikan arowana di pasaran kerana pembiakan hanya secara semula jadi," katanya.

Menyentuh mengenai penjagaan ikan arowana, Suhar berkata, tidak sesukar mana cuma harga yang tinggi menyebabkan pemiliknya lebih berhati-hati.

"Ikan arowana antara ikan yang tahan lasak dengan persekitaran tetapi disebabkan faktor kos tidak ramai berminat menternaknya," katanya yang juga menternak ikan kap jepun dan beberapa ikan hiasan tempatan.