Saturday, December 13, 2008

Siswazah tani

AGROBANK, dulunya dikenali Bank Pertanian Malaysia meluluskan pinjaman RM18.23 juta menerusi Skim Usahawan Tani Komersial (SUTJS) yang diperkenalkan sejak 2001 bagi membantu siswazah berminat terbabit secara serius dalam sektor berkenaan.

Penolong Naib Presiden Jabatan Perhubungan Korporat Agrobank, Rafaah Ismail, berkata sehingga 2008 bank berkenaan memberi pinjaman kepada 427 pemohon yang terbabit dalam pelbagai bidang pertanian antaranya penternakan lembu, kambing, ikan, penanaman sayur-sayuran dan padi.

“Menyedari pertanian adalah perniagaan yang menguntungkan, Agrobank akan terus memberi galakan kepada semua individu berminat untuk terbabit dalam bidang ini.

“Selain memberikan pinjaman pihak bank menerusi agensi kerajaan berkaitan turut memberi sokongan dari aspek latihan untuk menimba pengalaman, kursus serta cara membuat kertas kerja dengan berkesan,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.


Beliau berkata, untuk 2008, Agrobank meluluskan pinjaman kepada 170 pemohon dengan jumlah pinjaman RM6.95 juta.

Rafaah berkata, bidang pertanian kini semakin mendapat sambutan daripada generasi muda kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang terbabit.

Selain itu, antara objektif pembiayaan berkenaan katanya adalah untuk mengurangkan kadar penganggu di kalangan siswazah melalui kerjaya di bidang pertanian dan mewujudkan usahawan siswazah tani komersial.

Antara yang layak dibiayai menerusi skim berkenaan termasuk semua jenis modal kerja yang membabitkan aktiviti pengeluaran dan pemprosesan makanan merangkumi tanaman, perikanan serta ternakan.

Aktiviti huluan berkaitan pula ialah dengan pengeluaran makanan seperti pengeluaran benih ikan dan makanan ternakan serta projek yang cepat mengeluarkan hasil.

Bagi mereka yang berminat had pembiayaan ialah sehingga 100 peratus daripada kos projek bagi projek baru yang tidak melebihi RM100,000 dengan peringkat pertama tidak boleh melebihi RM50,000.

Bendang Man bantu tingkat pendapatan petani

Bagi meningkatkan pendapatan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal mendapatkan pendapatan tetap, Jabatan Perikanan Negeri Kedah membangunkan sebuah ladang ternakan ikan hiasan.

Ladang ternakan ikan hiasan yang dibangunkan pada 2005 di atas tanah terbiar seluas 4.45 hektar di Kampung Bendang Man yang dipunyai oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Ketua Unit Akuakultur, Projek Ikan Hiasan Bendang Man, Pejabat Perikanan Negeri Kedah, Mazayu Mohamad berkata, ladang ternakan berkenaan menggunakan tenaga kerja di kalangan orang tempatan.

"Di sini kami melatih mereka menjalankan teknik pembiakan ikan koi di bawah pengawasan pegawai jabatan.

"Dalam masa yang sama, mereka boleh belajar membiak dan menternak ikan secara komersial di rumah samping menambah pendapatan keluarga," katanya semasa ditemui di pameran Aquafair 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ladang ternakan ikan hiasan Bendang Man mempunyai 314 tangki simen bersaiz 3.75 x 3.75 x 0.3 meter dan 19 buah kolam dengan saiz 20 x 10 x 1 meter.

Di sana terdapat sembilan pekerja wanita bagi tugasan memilih ikan koi yang sesuai sebagai induk untuk tujuan pembiakbakaan.

Manakala empat orang pekerja lelaki melakukan tugas-tugas berat yang tidak sesuai dilakukan oleh kaum wanita.

"Ladang ini juga dijadikan pusat latihan dengan penyediaan beberapa kursus pembiakan dan ternakan ikan emas.

"Mereka yang terlibat akan diasuh menjadi usahawan apabila mereka susah boleh melakukan semuanya sendiri," katanya.

Ladang ternakan ikan hiasan di Kampung Bendang Man terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Sik dan 72 kilometer dari Alor Setar.

Bagi menjayakan ladang ternakan tersebut, Jabatan Perikanan Negeri Kedah telah menyediakan semua infrastruktur yang diperlukan.

"Di Ladang Ternakan Ikan Hiasan Bendang Man, pembeli boleh datang untuk memilih dan membeli ikan hiasan terutama ikan emas dan koi Jepun," katanya.

Mayazu berkata, projek ikan hiasan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dapat menjana pendapatan sehingga RM2,000 bagi sebuah keluarga.

"Projek ini jika dijalankan dengan semangat dan penuh ketekunan dapat meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan isi rumah memandangkan kedua-dua ikan berpotensi dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Selain ikan hiasan, ladang berkenaan juga ada menjalankan pembenihan ikan keli secara aruhan dengan sebuah syarikat swasta.

Tiga sahabat bangunkan e-arowana

Menyedari potensi industri penternakan ikan hiasan khususnya arowana, tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan dengan pendapatan lumayan. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan 95 peratus ikan hiasan yang diternak adalah untuk pasaran eksport kerana mutunya yang tinggi.

"Tetapi bukan mudah untuk kami mengambil langkah menceburkan diri dalam perniagaan ini secara sepenuh masa.

"Banyak yang perlu difikirkan terutama komitmen terhadap keluarga masing-masing," kata salah seorang pemilik e-arowana Trading, Suhar Shariff semasa ditemui semasa Pameran Aquafair Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyingkap sejarah permulaannya, beliau bercerita, mempunyai hobi yang sama menemukan mereka walaupun bekerja di tempat yang sama.

Suhar berkata, tiga faktor yang menyebabkan mereka bergiat dalam industri ikan hiasan iaitu minat, mempunyai nilai komersial dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki dalam Islam.

Bersama dua rakan lain, Zohri Mohd Taib dan Zulkifli Zarkasi, Suhar mula dengan aktiviti jual beli ikan hiasan pada tahun 2000 dan selepas lima tahun mereka bertiga mula membeli dan memelihara 40 arowana green dan red tail golden.

"Sebelum itu kami telah menyediakan enam buah kolam di kawasan Pendang, Kedah," kata graduan lulusan luar negara ini yang meletak jawatan pada tahun 2005 secara bergilir dengan rakan lain.

Kini tiga sahabat ini mempunyai lebih 200 ekor ikan arowana seperti red tail golden, Malaysia golden, chili red, blood red dan silver.

Suhar berkata, negara mempunyai kelebihan dari segi geografi dan politik sebagai kawasan ternakan arowana selain menjadi habitat asal ikan berkenaan.

"Permintaan ikan arowana yang tinggi masih tidak dapat memenuhi pasaran bagi pelanggan tempatan selain pasaran Asia terutama di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun serta Eropah," katanya yang merancang menambah bilangan kolam pada tahun depan.

Ikan arowana menjadi mahal kerana ikan purba Zaman Jurassic hanya membiak setahun sekali. Pembiakan ikan arowana secara semula jadi memberi ruang bagi penternak mengawal harganya.

"Tidak pernah berlaku lambakan dan kejatuhan harga ikan arowana di pasaran kerana pembiakan hanya secara semula jadi," katanya.

Menyentuh mengenai penjagaan ikan arowana, Suhar berkata, tidak sesukar mana cuma harga yang tinggi menyebabkan pemiliknya lebih berhati-hati.

"Ikan arowana antara ikan yang tahan lasak dengan persekitaran tetapi disebabkan faktor kos tidak ramai berminat menternaknya," katanya yang juga menternak ikan kap jepun dan beberapa ikan hiasan tempatan.

Kambing Jamnapari sesuai diternak

JAMNAPARI yang dinamakan sempena sebatang sungai yang terletak di Uttar Pradesh, India merupakan kambing berbaka kacukan yang berasal dari negara berkenaan dan juga Pakistan pada awalnya.

Sejak 1953, kambing Jamnapari yang diternak untuk tujuan daging dan tenusu itu telah dieksport ke Indonesia dan baka tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan di sana.

Sehubungan itu, India meningkatkan lagi perusahaan ternakan tersebut bagi tujuan dieksport.

Bancian pada tahun 1972 di India, menganggarkan sebanyak 580,000 ekor Jamnapari diternak, walaupun hanya 5,000 daripada bilangan tersebut merupakan baka asli.

Di negara asalnya, sepanjang musim sejuk 90 peratus kambing Jamnapari menghabiskan masa untuk meragut rumput atau daun.

Namun, pada musim yang lain, kambing tersebut hanya mengambil 55 peratus masa untuk mencari makanan seperti dedaun, rumput dan pelbagai tumbuhan hijau.

Dari segi fizikal, Jamnapari mempunyai bilangan variasi besar dalam faktor warna, tetapi pada kebiasaannya, ia berwarna putih dan mempunyai tompok pada leher dan kepala.

Di samping itu, Jamnapari mempunyai sepasang cuping telinga yang jatuh dan memanjang sehingga mencapai 25 sentimeter (sm).

Dalam pada itu, kedua-dua jantina kambing tersebut memiliki tanduk dan kaki yang panjang.

Bagi kambing jantan, Jamnapari mampu mencapai sehingga 120 kilogram (kg), manakala bagi betina, beratnya mampu mencecah sehingga 90kg.

Secara purata, seekor kambing betina Jamnapari mampu mengeluar- kan susu sehingga dua kg sehari.

Sementara bagi dagingnya, Jamnapari boleh dikatakan tidak merbahayakan kesihatan kerana kadar kolesterol dagingnya adalah pada tahap yang rendah.

Kini, kambing jenis Jamnapari turut mendapat tempat dan permintaan yang memberangsangkan di kalangan masyarakat tempatan.

Fauzi gemukkan kambing guna Magic Box


SETELAH 11 tahun berkecimpung dalam dunia perusahaan penternakan kambing, Muhammad Fauzi Daud, 44, membuktikan usaha gigih, pergorbanan serta pengalaman yang sentiasa mendewasakan beliau dalam industri berkenaan pasti membuahkan hasil.

Bermula hanya dengan 20 ekor kambing serta bermodalkan wang sebanyak RM30,000, beliau memulakan perusahaannya di sebuah ladang ternakan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Lebih menarik, beliau yang tidak tergopoh gapah untuk mencari keuntungan ataupun pulangan dalam masa yang singkat, sebaliknya menghabiskan masa selama lima tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri berhubung segala faktor yang berkaitan perusahaannya.

Ini termasuk mengkaji sistem ternakan terbaik, faktor pemakanan dan juga aspek penjagaan yang dapat diaplikasikan kepada kambing-kambing ternakannya.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan penceburan beliau dalam bidang tersebut bukan sekadar untuk menjual serta membekalkan kambing, malah mewujudkan sebuah sistem yang benar-benar efektif dalam menghasilkan ternakan yang benar-benar berkualiti.

Pada masa sama beliau juga berharap dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Dalam jangka masa lima tahun menjalankan R&D, beliau tidak menjual walau seekor mahupun membekalkan kambing kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau memfokus terhadap mengkaji cara untuk membina sistem kandang, teknik pembiakan, penjagaan dan faktor pemakanan yang mampu mempengaruhi tumbesaran kambing.

Muhammad Fauzi mengakui, jangka masa lima tahun itu dirasakan agak panjang dan mungkin menjejaskan perusahaan kerana tiada janaan pulangan modal dalam lingkungan masa terdekat.

Namun, berteraskan minat serta pengalaman perniagaan yang mantap sebelum ini, Fauzi yang merupakan seorang pengusaha perabot, hanya mula membekalkan kambing kepada umum pada tahun ke enam selepas beliau benar-benar berpuas hati dengan ternakannya.

Menurutnya, selepas menjalankan sendiri R&D yang komprehensif, kambing yang diternak mampu membesar dengan lebih besar daripada saiz biasa.

“Pembinaan kandang yang bersesuaian serta pemakanan yang baik mampu mempengaruhi faktor pembesaran seekor kambing itu,’’ katanya.

Bekat kesabaran beliau itu, Fauzi kini memiliki dua ladang ternakan iaitu di Lenggeng dan Batang Berjuntai, Selangor.

Ladang ternakan di Lenggeng itu mempunyai keluasan 20 ekar dengan 10 ekar daripadanya menempatkan tiga tapak kandang kambing dan selebihnya adalah kawasan rumput untuk dijadikan makanan kambing.

Sehingga kini, beliau memiliki 1,050 ekor kambing daripada jenis Jamnapari yang bakanya diimport dari Indonesia, manakala 1,300 ekor kambing lagi ditempatkan di Batang Berjuntai meliputi jenis Jamnapari dan Bebiri.

Antara yang menarik, Fauzi mengaplikasikan teknik pembinaan kandangan kambing yang dipanggil Magic Box dan menyelaraskan teknik pemakanan Feed lot bagi menggalakkan pembesaran kambing-kambing ternakannya.

Kandang tersebut merupakan tempat Fauzi menempatkan kambing yang berusia lebih dari tiga bulan untuk ‘digemukkan’.

Melalui teknik Magic Box ini, kambing-kambing akan ditempatkan pada petak-petak yang hanya mampu menempatkan seekor kambing dan akan dibiarkan di dalam petak tersebut untuk suatu jangka masa sehingga berbulan-bulan.

Setiap petak dilengkapi dengan tempat pemakanan yang khas di mana kambing-kambing tersebut akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Selain itu, ruang yang kecil turut membataskan pergerakan kambing di dalam kotak tersebut sekali gus menjadikan ia lebih gemuk.

Sistem tersebut ternyata berkesan kerana kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box itu mempunyai peningkatan dari segi berat dan saiz berbanding kambing yang diternak di dalam kandang biasa.

Pada kebiasaannya, seekor kambing Jamnapari yang matang memiliki berat antara 60 hingga 70 kilogram (kg), manakala menerusi Magic Box berat kambing mampu mencecah sehingga 100-120 kg.

Jelas Fauzi lagi, kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box nyata sihat-sihat belaka dan bebas daripada penyakit kerana petak khas itu telah dicipta dengan tempat pembuangan sisa yang begitu efektif sekali gus menjamin kebersihan kandang.

“Paling penting, penjagaan yang teliti perlu dilakukan bagi menjamin kualiti ternakan,’’ ujarnya.

Dari segi pemakanan pula, Fauzi menggunakan dedaun hijau daripada pelbagai jenis tumbuhan yang dicampur dengan hampas soya, barli dan juga kandungan mineral DG Premix.

Tambah beliau lagi, memproses makanan ternakan sendiri menjadikan kos pemakanan dapat dikurangkan dan lebih menjimatkan.

“Sekiranya, pengusaha menggunakan pellet sebagai bahan makanan, purata kos bagi seekor kambing adalah pada RM1 untuk sehari, padahal jika makanan diproses sendiri, kos tersebut mampu dijimatkan sehingga 30 sen bagi setiap ekor untuk sehari,’’ jelasnya.

Kini, selain membekalkan daging dan baka kambing, beliau turut menawarkan projek mini perladangan kontrak ternak kambing dan bebiri.

Pakej tersebut didatangkan dengan kandang, khidmat nasihat serta bantuan selepas jualan, kursus, kontrak pembelian balik hasil.

Hanya bermodalkan RM10,000, pihak yang berminat untuk menceburi dunia penternakan kambing boleh menghubungi beliau di talian 019-6509690.